TAJUK : PENGURUSAN BILIK DARJAH

Korang tahu tak apa maksud bilik darjah ? Rasanya ramai yang akan jawab, “ala, tempat kita belajar lah dekat sekolah.” Kalau begitu, jawapan anda hampir tepat, tapi tidak sepenuhnya.


Bilik darjah merupakan tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang melibatkan beberapa pihak iaitu sebilangan murid dengan guru. Secara ringkasnya, bilik darjah ini adalah tempat murid menimba ilmu dan pengalaman yang disampaikan oleh guru-guru. Justeru itu, bilik darjah hendaklah diuruskan dengan sebaik mungkin oleh para guru agar mampu menjadi sebuah ruang menimba ilmu yang terbaik buat para pelajar serta memudahkan segala proses di dalam bilik darjah tersebut.

Apa itu pengurusan bilik darjah? Pengurusan bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai suatu tindakan atau strategi yang dipraktikkan oleh guru-guru untuk memastikan keadaan persekitaran di bilik darjah sentiasa terkawal dan memudahkan mereka melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran( PdP). Pengurusan bilik darjah yang baik akan mewujudkan suasana dan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Menurut Lemlech (1988), pengurusan bilik darjah diibaratkan sebagai okestra dalam kehidupan di mana ianya memerlukan pembentukan kurikulum, penyelenggaraan, prosedur dan sumber pengajaran.

 


    Gambar bilik darjah murid-murid sekolah kebangsaan.



1.0 LATAR BELAKANG SEKOLAH

 

Ringkasan Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Slim River

 

Idea penubuhan SMKA muncul ketika Ustaz Mahyuddin bin Musa menjadi Ketua Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia sekitar tahun 1975/76. SMKA mula dibina pada tahun 1991 di tepi lebuh raya Slim River-Kuala Lumpur yang berjarak sejauh 6 kilometer ke selatan Slim River. SMKA Slim River merupakan inisiatif pihak kerajaan dalam menggalakkan konsep sekolah berasrama yang berteraskan penghayatan Islam dalam cara hidup yang dididik bermula dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Peningkatan kesedaran pelajaran yang berteraskan agama serta pemantapan subjek-subjek berteraskan agama mendorong SMKA Slim River untuk mengambil pelajar tingkatan 6 rendah pada tahun 1996 dan kemudiannya menambah bilangan kelas bagi aliran teknikal tingkatan 4. Kesannya, aliran kejuruteraan atau teknikal telah wujud di sekolah ini lantas menaikkan imej SMKA.

 


 

Falsafah SMKA Slim River

"Usaha yang terancang, terkawal dan berterusan berasaskan panduan ilmu, iman dan amal soleh serta budaya Islam dan suasana pembelajaran yang sempurna ke arah melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, seimbang, cemerlang, beakhlak mulia, bertakwa dan bertanggungjawab untuk mengamalkan cara hidup Islam serta mampu memberi sumbangan yang bermanfaat kepada agama, ummah dan negara."

 


 

 

 

Matlamat Sekolah

Mendidik pelajar dengan keperibadian Islam.

Membekalkan ilmu yang memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi.

-Memperkembangkan potensi pelajar dari segi minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan.

-Memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang ilmu dalam dan luar.

 

Objektif Sekolah

Mencapai kecemerlangan kurikulum dan ko-kurikulum.

Melahirkan pelajar yang mengamalkan akhlak mulia.

Membentuk generasi pelajar sebagai pemimpin yang boleh diteladani.

-Melahirkan pelajar yang mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai islam.

 

 

 2.0 PENGENALAN KEPADA KOMPONEN PENGURUSAN BILIK DARJAH

 

Tujuannya adalah untuk,

a) Menambahkan masa dalam aktiviti pembelajaran,

b) Membuatkan sesuatu aktiviti di bilik darjah lebih terancang,

c) Mengurangkan kebisingan dan gangguan di dalam bilik darjah,

d) Memudahkan pihak guru untuk memantau aktiviti murid,

e) Memupuk interaksi antara murid.

 

Model Pengurusan 5S

5S ialah alat peningkatan produktiviti yang diperkenalkan di Jepun dan turut diamalkan di negara-negara lain di dunia.

5S merupakan satu metodologi atau pendekatan yang bersistematik yang berkaitan dengan amalan penjagaan kebersihan tempat kerja dengan menyusun, membersih, membangunkan dan mengekalkan persekitaran kerja yang produktif.

Prinsip model pengurusan 5S adalah “Tempat Untuk Semua dan Semuanya di Tempatnya.”



Istilah 5S


                                                                                                  












Pencapaian 5S

1. Keadaan bilik dan pejabat yang lebih bersih dan tersusun.

2. Tenaga pekerja akan lebih berdisiplin.

3. Meningkatkan imej organisasi.


3.0 PERSEKITARAN BILIK DARJAH

Rasanya sudah pasti bilik darjah anda semua kelihatan seperti ini bukan ? Kalau ya, bersyukurlah kerana masih diberi kesempatan untuk belajar di bawah bumbung yang melindungi kita daripada terik mentari dan lebatnya hujan.


                         


Banyak faktor yang telah mempengaruhi persekitaran bilik darjah di mana kesemua faktor-faktor ini turut mempengaruhi suasana di bilik darjah tersebut.

 

A) Faktor Fizikal

Faktor fizikal merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi suasana bilik darjah. Perkara pertama yang perlu diambil berat oleh guru ketika menguruskan bilik darjah adalah memastikan saiz bilik darjah bersesuaian dengan bilangan pelajar yang akan mendudukinya. Contohnya, saiz bilik darjah yang kecil boleh digunakan untuk menempatkan pelajar kira-kira 20 orang manakala bilik darjah yang lebih besar saiznya boleh digunakan untuk menempatkan 30 orang pelajar. Guru juga harus bijak menggunakan ruang yang ada untuk menyusun atur kedudukan kerusi meja dan peralatan-peralatan yang berkaitan. Susunan meja dan kerusi hendaklah kemas dan teratur agar dapat memberikan keselesaan kepada murid.

Selain itu, suasana yang lebih tenang dan ceria dapat dihasilkan apabila guru menghias bilik darjah dengan jadual bertugas, nota-nota, lukisan pelajar dan kata-kata motivasi di dinding bilik darjah. Bilik darjah yang juga perlu dilengkapi dengan tingkap, kipas dan lampu yang mencukupi. Hal ini bagi memberikan pengudaraan serta pencahayaan yang terbaik kepada bilik darjah.

 

B) Faktor Emosi

Faktor emosi ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang penting dalam memastikan suasana bilik darjah sentiasa berada dalam keadaan tenang dan aman di samping menghadirkan rasa selesa dalam kalangan seluruh pelajar beserta para guru.

Guru hendaklah sentiasa bertimbang rasa dengan pelajar ketika berada di dalam bilik darjah. Contohnya, guru digalakkan menggunakan gaya kepimpinan demokratik. Gaya kepimpinan seperti ini memperlihatkan guru saling bekerjasama dengan murid-murid dan wujud tolak ansur dan rasa percaya antara murid dan guru. Murid diberi peluang untuk bersuara mengenai apa-apa dan guru akan mendengarnya lalu mempertimbangkan suara para pelajar. Kesannya, suasana yang aman dan ceria dapat dihasilkan. Berbeza dengan gaya kepimpinan demokratik, sesetengah guru juga ada yang menggunakan gaya kepimpinan autoritarian. Kepimpinan ini menunjukkan guru akan bersikap tegas dan tiada tolak ansur. Murid-murid juga akan dihukum sekiranya melakukan kesalahan.

Sebagai guru, sikap penyayang dan peramah perlu wujud dalam diri di mana semua murid hendaklah dianggap seperti keluarga sendiri dan dididik dengan sebaik mungkin. Murid-murid yang merasakan diri mereka disayangi akan berasa selesa dan lebih bersemangat untuk belajar. Suasana bilik darjah juga akan lebih ceria dan penuh dengan gelak ketawa apabila interaksi sebegini dapat diwujudkan. Sikap adil para guru turut mempengaruhi emosi pelajar di dalam bilik darjah. Guru patut memberi layanan sama rata kepada semua pelajar dan tidak bersikap pilih kasih. Contohnya, tidak membandingkan keputusan pelajar kelas hadapan dengan pelajar kelas belakang. Sebaliknya, guru memberikan dorongan dan nasihat kepada mereka untuk berusaha dengan lebih baik lagi dan  mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah berusaha. Dengan ini, murid-murid akan berasa lebih bermotivasi dan akan berusaha dengan lebih gigih.




CFaktor Sosial

Faktor sosial merujuk kepada hubungan dan interaksi antara pelajar di dalam bilik darjah. Dalam hal ini, guru berperanan sebagai penggerak untuk mengeratkan hubungan antara pelajar bagi mewujudkan suasana pembelajaran bilik darjah yang kondusif.

Guru dapat menggalakkan hubungan sosial antara murid dengan mengadakan pelbagai aktiviti secara berkumpulan di bilik darjah. Dalam setiap kumpulan, terdapat beberapa orang murid yang akan menyelesaikan sesuatu tugasan secara berkumpulan. Dengan ini, mereka akan berinteraksi antara satu sama lain, saling bekerjasama, bertimbang rasa dan bertolak ansur.

Faktor sosial juga dapat dilihat dalam situasi di mana murid mematuhi rutin pergerakan yang telah ditetapkan oleh guru. Contohnya, cara murid memasuki kelas dan keluar kelas seperti pergi ke tandas. Dalam hal ini, murid perlu meminta kebenaran daripada guru dan mendapatkan pas kebenaran keluar kelas sebelum keluar. Selain itu, cara murid dalam mendapatkan bahan-bahan pembelajaran daripada guru dengan cara meminta secara sopan. 


Gambar menunjukkan murid-murid belajar secara berkumpulan


D) Faktor Teknikal

Faktor ini merujuk kepada teknik-teknik yang digunakan oleh para guru dalam merangsang semangat dan kesediaan belajar murid-murid. Faktor ini memperlihatkan kemahiran seseorang guru itu serta kecekapannya dalam menggunakan alat bantu mengajar untuk merangsang semangat murid-murid.

Contohnya, guru mengadakan aktiviti seperti membina pantun, sajak, berdrama dan juga membawa permainan di dalam bilik darjah. Aktiviti-aktiviti ini akan mampu meningkatkan rasa minat murid dalam belajar. Hal ini kerana, sesetengah muird sudah bosan menghadap buku dan membuat latihan sahaja, jadi dengan adanya aktiviti seperti ini, mereka akan berasa seronok dan bersemangat.

 


4.0 PENDEKATAN DALAM PENGURUSAN BILIK DARJAH

 

Menurut Ahmad (2011), mendekatkan sesuatu dalam bidang pendidikan dinamakan sebagai pendekatan. Pendekatan bermaksud arah atau hala yang diambil untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam konteks dunia pendidikan, seseorang guru bertanggungjawab dalam menguruskan bilik darjah dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan bilik darjah. Justeru itu, sebagai seorang guru, kita hendaklah memilih pendekatan yang sesuai dengan keperluan pelajar. Setiap pendekatan yang dipilih hendaklah mencerminkan sesuatu pandangan dan hakikat matlamat pelajaran.

Terdapat beberapa pendekatan seperti :

A. Pendekatan Autoritarian

B. Pendekatan Permisif

C. Pendekatan Instruksional

D. Pendekatan Buku Resipi

E. Pendekatan Kumpulan

 

A. Pendekatan Autoritaran

Autoritarian bermaksud tegas dan tiada tolak ansur. Ini bermaksud, seseorang guru yang menggunakan pendekatan ini adalah berkuasa penuh dalam menetapkan sesuatu yang berkaitan dengan pengurusan bilik darjah. Beliau tidak memerlukan pendapat daripada orang lain dan pelajar-pelajarnya. Pendekatan seperti ini selalunya digunakan oleh guru dalam menetapkan peraturan bilik darjah tanpa berbincang dengan pelajar terlebih dulu. Contohnya, peraturan di mana setiap pelajar yang ingin keluar ke tandas atau ke mana-mana perlu mendapatkan keizinan daripada guru terlebih dahulu. Selain itu, mereka juga harus menggunakan pas keluar kelas jika hendak ke mana-mana. Peraturan lain adalah seperti wajib menjalankan tugas seperti dalam jadual bertugas demi memastikan kebersihan dan keceriaan kelas. Dalam konteks pendekatan ini, guru akan mendenda murid yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.





B. Pendekatan Permisif

Permisif bermaksud kebebasan melakukan sesuatu tanpa ada halangan atau sekatan daripada individu atau pihak lain. Pendekatan permisif pula adalah pendekatan yang bersifat kebebasan dan ianya adalah bertentangan dengan pendekatan autoritarian. Hal ini kerana pendekatan permisif adalah mementingkan amalan demokratik (pilihan). Dalam pendekatan ini, guru bertindak sebagai pembimbing yang berperanan memberi nasihat atau pandangan kepada pelajar tersebut. Pendekatan permisif ini memperlihatkan setiap pelajar diberi kebebasan untuk membuat keputusan sendiri yang dapat mengembangkan potensi diri mereka. Pendek kata, keputusan akhir akhir mengenai sesuatu perkara adalah terletak dalam tangan pelajar itu sendiri.

Tamsilnya, pelajar tingkatan 3 yang sudah tamat menduduki salah satu peperiksaan awam iaitu Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), sudah pasti akan memasuki aliran sastera atau aliran sains dalam tingkatan 4. Mereka hendaklah diberikan peluang untuk memilih aliran yang mereka sukai mengikut minat dan kemampuan masing. Bukan itu sahaja, ada juga pelajar yang lebih meminati untuk belajar bidang teknik dan vokasional setelah tamat tingkatan 3. Pelajar-pelajar ini juga harus diberi peluang agar mereka dapat mempelajari sesuatu yang diinginkan. Jelaslah bahawa, melalui pendekatan ini, penglibatan pihak guru dan pihak lain adalah sangat minima di mana mereka hanya bertindak sebagai penasihat atau pemimbing sahaja.

 

C. Pendekatan Instruksional

Perkataan “Instruksional” berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu ‘instruction’ yang berasal daripada kata dasar yang bermaksud ajar. Dalam pendekatan ini, beberapa strategi utama telah disarankan seperti guru menetapkan standard, prosedur dan rutin kelas serta mengubahsuai persekitaran bilik darjah bersesuaian dengan keselesaan murid-murid dan kelancaran proses PdP.


D. Pendekatan Buku Resipi

Pasti anda tertanya kenapa buku resipi, benar bukan ? Hal ini dikatakan sebagai pendekatan buku resipi kerana ia memerlukan seseorang merujuk kepada sesuatu yang dapat dijadikan sebagai panduan yang berguna. Dalam konteks pendekatan bilik darjah, pendekatan buku resipi merujuk kepada peranan guru mendapatkan petua-petua atau nasihat daripada guru-guru lama dan lebih berpengalaman dalam menguruskan bilik darjah serta murid-murid.

    



    

Dalam pendekatan ini, terdapat 4 strategi iaitu :

Tips pengurusan bilik darjah

Petua mengawal murid nakal

Teknik kawalan perlakuan murid

Rahsia pengurusan disiplin murid

 

Bagi tips pengurusan bilik darjah, beberapa tips yang boleh dilakukan adalah seperti guru memaklumkan peraturan bilk darjah yang perlu dipatuhi oleh murid-murid pada hari pertama persekolahan. Dengan ini, murid-murid akan lebih jelas peraturan dan cuba untuk mematuhinya. Selain itu, guru menyusun atur kedudukan murid dari semasa ke semasa bersesuaian dengan keadaan disiplin murid. Contohnya, murid-murid yang sentiasa membuat bising di dalam kelas boleh ditempatkan di bahagian hadapan kelas agar mudah untuk dipantau. Tips ini mempunyai sedikit persamaan dengan petua mengawal murid nakal. Petua mengawal murid nakal juga memerlukan murid ditempatkan di hadapan kelas agar mudah dikawal. Bukan itu sahaja, guru boleh melibatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang mereka minati supaya mereka lebih fokus di dalam kelas.

 

E. Pendekatan Kumpulan

Menurut Ahmad (2004), kumpulan didefinisikan sebagai dua atau lebih individu yang berinteraksi dan tidak bergantung antara satu sama lain ke arah pencapaian matlamat tertentu.

Dalam pendekatan ini, setiap pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dikehendaki untuk bekerja secara berkumpulan. Setiap individu diperlukan untuk membantu dalam menyumbangkan idea kepada kumpulan. Dalam hal ini, guru berperanan untuk sentiasa mengingatkan murid atau setiap kumpulan mengenai objektif bekerja secara berkumpulan.

Sebenarnya, kumpulan-kumpulan pelajar yang dibentuk ini adalah sebuah sistem sosial yang dilihat dapat menghasilkan kesan positif kepada PdP. Wujudnya kumpulan-kumpulan ini juga meningkatkan tahap interaksi antara murid dan memudahkan guru untuk memantau perbuatan mereka, seterusnya mengawal keseluruhan persekitaran bilik darjah.

 


 5.0 ANALISIS SWOT

Analisis SWOT dilakukan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang terdapat di dalam organisasi sekolah serta bagi mengetahui ancaman dan peluang yang terdapat di luar organisasi.

 

a) S - Strength (Kekuatan)

SMKA Slim River telah mencapai keputusan 100% dalam prestasi akademik PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).

Sekolah ini juga mempunyai kelengkapan yang cukup dari segi keperluan bilik darjah iaitu sebanyak 21 buah bilik darjah beserta kemudahan lain misalnya 3 buah makmal sains, sebuah makmal ERT, sebuah bilik seni dan sebuah bilik tayangan.

SMKA Slim River juga mempunyai guru terlatih dan guru cemerlang.

 

b) W- Weakness (Kelemahan)

Penerapan Bahasa Inggeris yang kurang dalam kalangan pelajar.

Program pengukuhan Bahasa Inggeris juga sangat kurang dilaksanakan.

 

c) O- Oppurtunity (Peluang)

Kerajaan negeri sentiasa sedia untuk membantu dalam menyumbangkan dana bagi Program Kecemerlangan Pelajar..

Wujudnya hubungan baik antara pihak JPN dan PPD dengan pihak pengurusan SMKA Slim River.

 

d) T- Threat (Ancaman)

Masyarakat masih beranggapan bahawa sekolah agama tidak menjamin masa depan anak-anak mereka.

Masyarakat masih memandingkan kelebihan sekolah harian biasa berbanding sekolah berasaskan agama.

 

 

Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah merupakan suatu perkara penting yang perlu diambil berat oleh setiap guru. Guru hendaklah sentiasa memastikan bilik darjah terurus dari segi persekitaran, murid-murid dan keseluruhan suasana di dalamnya. Pengurusan bilik darjah yang sistematik mampu memberi kelancaran terhadap proses Pdp, mewujudkan persekitaran yang selesa dan harmoni kepada semua penghuninya seterusnya meningkatkan prestasi para pelajar.

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Ang, J.J.E. & Ed. D. (2014). Pengurusan Bilik Darjah : Strategi-strategi mewujudkan komuniti pembelajaran berkesan. Selangor: PTS Academia.

 

Evertson, C.M. & Emmer, E.T. (2013). Classroom Management For Elementary Teachers. United States, America: Pearson Eduction.

 

Haliza Hamzah & Samuel, J.N. (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam, Selangor: Oxford Fajar Sdn.Bhd.

 

Norashikin Abu Bakar, Ramli Basri & Foo Say Fooi. (2015). Hubungan Kepimpinan Guru dengan Pencapaian Akademik Pelajar. International Journal of Education and Training (InjET), 1(2), 1-11.

 

Ridzuan Kamis. (2017, Jun). Pengurusan Bilik Darjah yang Berkesan. Dimuat turun daripada https://www.pendidik.com.my/2017/06/09/pengurusan-bilik-darjah- yang-berkesan/

 

Rohani Arbaa, Hazri Jamil & Mohammad Zahir Ahmad. (2017). Model Bersepadu Penerapan Kemahiran Abad ke-21 dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal Pendidikan Malaysia, 42(1), 1-11.

 

 

 










Comments